Tuesday, 10 June 2014

~PEPERIKSAAN APLIKASI KOMPUTER~

Assalamualaikum w. b. t dan salam sejahtera semua.

Agak lama juga saya tidak menjenguk blog ini sejak akhir-akhir ini. Maklumlah, minggu pepeeriksaan akhir. Semua pelajar sibuk dengan ulangkaji pelajaran sebelum ini. Melainkan saya yang belajar hanya sekejap, lepas itu, benda lain yang saya lakukan. Risau juga dengan pepriksaan. Takut markah dapat rendah sebab terlalu leka dengan fasiliti UKM yang selesa ni.


Tajuk blog kali ini saya ambil sempena peperiksaan yang saya akan duduki sebentar lagi iaitu peperiksaan subjek Aplikasi Komputer. Ya. Subjek inilah yang mengajar saya cara-cara menggunakan fungsi-fungsi yang ada dalam komputer dengan betul. Contohnya microsoft word, access dan lain-lain lagi.


Apa yang saya tahu, dalam pepriksaan ini, saya perlu menjawab 100 soalan objektif berdasarkan apa yang diajar dalam kelas. Dan bermakna saya berkemungkinan tidak dapat menjawab dengan tepat 100 soalan tetapi kalau dapat menjawab 100 soalan dengan tepat, saya berjaya memecahkan rekod pelajar FEP yang mendapat markah penuh dalam pepriksaan akhir Aplikasi Komputer.


Tetapi, apa yang dapat saya lihat, boleh dikira banyak juga soalan yang saya tidak tahu. Maksudnya, soalan yang saya betul-betul tidak dapat jawab. Dimana jawapannya adalah  benda yang perlu diketahui dan dihafal. Dari mana saya tahu? Adalah.


Tapi apa yang saya pasti, saya akan jawab soalan peperiksaan ini dengan penuh yakin dan bersungguh-sungguh. Bukan soalan peperiksaan ini sahaja, malah peperiksaan lain juga. Cuma saya perlu berusaha dengan tekun dan rajin untuk mengulangkaji pelajaran untuk memudahkan saya menjawab soalan peperiksaan ini. 


Saya harap untuk pepriksaan kali ini, saya boleh mendapatkan PNGK yang lebih tinggi. In shaa Allah.

Sekian sahaja blog pada minggu ini. 

Assalamualaikum w. b. t.




Monday, 2 June 2014

~STUDY MODE~

Assalamualaikum w. b. t dan salam sejahtera anda semua.

Tajuk blog pada kali ini adalah "study mode". Kalau dalam bahasa melayunya adalah mod belajar. Saya memilih tajuk ini mungkin kerana bersesuaian dengan mod pelajar UKM sekarang ini dimana minggu ini adalah minggu "study week".


Mesti anda semua fikir minggu belajar adalah minggu untuk kita ulangkaji sebanyak mungkin untuk persediaan sebelum memasuki dewan peperiksaan. Tetapi hakikatnya, minggu study week ini banyak dihabiskan dengan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan selain belajar. Mungkin ada sesetengah sahaja yang betul-betul fokus untuk belajar pada minggu study week ini.


Hakikatnya, saya sendiri tidak menggunakan sepenuhnya minggu ini untuk mengulangkaji pelajaran. Buktinya, saya sedang menulis blog ini. Dan saya juga telah pergi menonton wayang pada malam semalam bersama-sama rakan saya. Jika mahu buka buka, ada sahaja halangan yang datang. Mengantuklah, malaslah, kawan ajak makanlah dan lain-lain lagi halangan.


Tetapi, saya sekadar ingin mengingatkan kepada diri saya dan juga anda semua, gunakanlah masa yang diberi untuk belajar bersungguh-sungguh supaya kelak kita akan berjaya didunia dan juga diakhirat.

"MASA ITU EMAS"

Sekian sahaja dan Assalamualaikum w. b. t.


Thursday, 29 May 2014

~EPILOG~

Assalamualaikum w.b t. dan salam sejahteran anda semua.

Epilog adalah tajuk tema yang terakhir yang diberikan oleh Sir Azzwan. Tetapi tidak bermakna saya akan berhenti menulis blog sampai disini sahaja. Saya akan terus menulis blog apabila masa mengizinkan.

Setelah hampir satu semester saya menghadiri kelas Sir Azzwan, iaitu aplikasi komputer, banyak yang telah saya pelajari tentang komputer terutamanya penggunaan Microsoft Office. Walaupun ada yang saya kurang faham tentang Access, tetapi saya berterima kasih kerana dengan apa yang Sir Azzwan telah ajar, dapat saya mudahkan hidup saya dalam membuat kerja-kerja yang menggunakan Microsoft Office.


Selain daripada itu, saya juga telah pandai dan mengetahui bagaimana untuk membuat blog. Daripada kosong pengetahuan tentang blog, saya telah pandai untuk menghias dan menulis isi-isi yang menarik didalam blog. Dan penulisan saya didalam blog walaupun nampak skema, tetapi saya lebih selesa untuk menulis secara skema daripada menulis secara tidak formal. Mungkin bukan sifat saya untuk menulis secara tidak formal.


Masih saya ingat akan hari pertama memasuki kelas Sir Azzwan. Dengan muka yang bengis, saya rasa seperti mahu tukar set kelas sahaja. Tetapi lama-kelamaan, kelas Sir Azzwan juga yang lebih seronok berbanding kelas lain. Mungkin kerana saya suka cara Sir Azzwan mengajar iaitu beliau mengajar mengikut kepentingan tajuk. Selain daripada itu, kelas beliau juga tidaklah terlalu formal, iaitu tidak sepanjang masa belajar. Kadang-kala, semasa belajar ada diselitkan nasihat-nasihat dan juga lawak supaya kelas tidak menjadi hambar. Dan apa yang saya paling kagumi tentang Sir Azzwan adalah keadilan beliau. Sir Azzwan tersangat adil kerana dalam pemberian markah, kalau kita berusaha untuk mendapatkan markah, maka beliau akan memberi marakah yang setimpal dengan apa yang kita usahakan. Dan sesiapa yang ambil ringan dengan tugasan yang diberikan, maka kuranglah markah yang diberikan.


Maka berkahirlah pembelajaran saya dan kawan sekelas saya dengan Sir Azzwan. Terima Ksih Sir Azzwan kerana sudi mengajar kami dan maaf atas segala kesilapan yang telah kami lakukan sepanjang kelas Sir Azzwan. In shaa Allah kami akan sentiasa mengingati jasa Sir Azzwan.

"TEAM NAGA BIRU RESPECT SIR AZZWAN"

Sekian sahaja tajuk blog pada kali ini.

Assalamulaikum w.b t. 





~ZAMAN DITELAN TEKNOLOGI~

Assalamualaikum w. b. t dan salam sejahtera semua.

Tajuk blog pada kali ini ialah tentang teknologi yang semakin hari semakin maju dan zaman-zaman lagenda telah dilupakan.

Tiba-tiba saya boleh terfikir pula untuk membuat tajuk ini pada jam 3 pagi kerana tidak dapat melelapkan mata untuk tidur.

Seperti yang kita tahu, teknologi sekarang semakin hari semakin maju dan manusia semakin hari semakin mengharapkan pada teknologi semata-mata.


Tambahan pula, apa yang dapat saya lihat, remaja zaman sekarang telah dilahirkan dalam kehidupan berteknologi dan akibat daripada ini, mereka menjadi malas. Itu adalah apa yang dapat saya lihat. Tidak semua remaja zaman sekarang yang pemalas, tetapi ramai diantara mereka yang pemalas akibat perubahan teknologi yang semakin maju. 


Daripada apa yang dapat saya lihat juga, remaja zaman sekarang sudah mula dilupakan tentang adat dan juga gaya hidup melayu. Ini kita lihat dari aspek kebudayaan. Remaja zaman sekarang lebih memilih untuk mempunyai gajet daripada memilih untuk memahami kebudayaan melayu. Contohnya, saya yakin mesti ada antara remaja sekarang yang tidak tahu bermain ceper, batu seremban, ting-ting dan lain-lain permainan tradisional. Mengapa? Sebab mereka lebih seronok untuk bermain permainan yang ada didalam gajet mereka.


Satu lagi kesan yang teruk berlaku pada zaman sekarang akibat perubahan teknologi adalah hubungan sosial telah berkurang. Jikalau pada zaman dahulu, kita jumpa kawan untuk lepak bersama, berbual bersama, tetapi zaman sekarang, walaupun lepak dalam satu meja, tetapi masing-masing sibuk dengan telefon pintar dan gajet masing-masing. Lebih baik tidak berjumpa untuk lepak.


Natijahnya, apa yang ingin saya tekankan adalah kita boleh untuk berteknologi,tetapi janganlah sampai teknologi memusnahkan peradaban manusia dalam sosial. Apabila semua manusia lebih memilih teknologi, nescaya manusia akan hilang tanggungjawab sosial. Dan untuk pengetahuan anda semua, otak manusia boleh rosak jika kita duduk dan melihat komputer atau gajet untuk masa yang lama.

Sekian sahaja blog untuk kali ini.

Assalamualaikum w. b. t.




Wednesday, 28 May 2014

~BALIK RUMAH~

Assalamualaikum w. b. t dan salam sejahtera semua.

Setelah sekian lama tidak mengemaskini blog, harini baru berpeluang mengemaskini kerana sebelum ini amat sibuk dengan beberapa masalah dikolej dan di universiti.


Kali ini tajuk blog saya adalah balik rumah. Cerita pasal balik rumah ni, mesti mahasiswa dan mahasiswi yang sudah lama tidak pulang ke rumah teringat akan suasana berada di rumah. Pada saya, rumah adalah tempat paling nyaman didunia. Sebab itu ada perumpamaan rumahku syurgaku. 


Pelajar yang baru memasuki alam universiti kebiasaannya akan rindu akan rumah walaupun baru setengah jam ditinggalkan di kolej kediaman. Memang tidak dinafikan saya sendiri rasa seperti itu semasa dahulu. Tetapi lama-kelamaan akan sudah terbiasa tinggal dikolej kediaman. Tetapi terdapat banyak juga pelajar yang 'home sick' atau rindu tersangat pada rumahnya sampai sanggup balik setiap kali terdapat cuti walaupun cuti hanya satu hari. 


Seperti saya, saya hanya akan balik kerumah apabila terdapat cuti yang panjang. Jika cuti hanya satu dua hari, pada saya amat membazir jikalau balik kerumah. Sampai rumah, buat keje sikit, jalan-jalan dan perlu balik semula ke universiti. Pada saya lebih baik tidak pulang kerumah. Saya bercerita tentang balik rumah ini kerana akhirnya setelah lama tidak menjenguk rumah, dapat juga saya balik kerumah. Ini pun saya ponteng dua kelas kerana selepas ini susah untuk saya balik kerumah kerana cuti amatlah sedikit dan mempunyai banyak program di universiti.

Apa yang saya ingin katakan hanyalah janganlah sampai kita lupa akan rumah sendiri. Kalau ada masa ,baliklah kerumah.

Sekian sahaja.

Assalamualaikum w. b. t.



Sunday, 18 May 2014

~MALAS~

Assalamualaikum w. b. t dan salam sejahtera.

Tajuk blog pada minggu ini adalah malas. Kerana apa? Kerana saya tengah dalam keadaan malas pada minggu ini. Jadi, lebih baik saya berkongsi sedikit sebanyak berkenaan malas ini.


Malas boleh dikatakan sebagai keengganan untuk melakukan sesuatu. Bermakna apabila kite perlu membuat sesuatu, seperti memnyiapkan tutorial, badan kita terasa enggan untuk melakukannya. Itulah yang dikatakan malas. Pada saya, malas adalah sikap negatif yang perlu dijauhi walaupun sikap malas ini telah menguasai diri saya sebanyak 67.8%. Ini bermakna sikap rajin saya hanya ada 32.2% sahaja. Nampakkan perbezaannya.


Dan apa yang dapat saya lihat, remaja zaman sekarang atau boleh saya katakan sebagai generasi Y adalah generasi yang agak pemalas. Itu pada pendapat saya lah. Maksud saya bukan kesemua generasi Y pemalas. Ada sesetengah sahaja yang rajin. Mengapa? Kerana dapat saya lihat remaja sudah dipengaruhi dengan teknologi zaman sekarang yang memudahkan kehidupan. 


Sebagai contoh, mari kita lihat stail pelajar universiti zaman sekarang. Apabila pensyarah suruh buat tutorial dan hantar dalam bentuk hardcopy, pasti akan ada yang bertanya "Prof, boleh tak kalau saya hantar dalam bentuk softcopy?". Alasannya adalah mudah. Pelajar malas untuk pergi hantar ke bilik Prof tersebut.

Jadi, apa yang boleh saya katakan hanyalah nasihat-nasihat supaya janganlah melatih diri untuk malas. Latihlah diri untuk menjadi seorang yang rajin. Manusia yang berjaya didunia dan akhirat adalah manusia yang rajin. 

Sekian sahaja.

Assalamualaikum w. b. t.



Monday, 12 May 2014

~UNIVERSITI KUAT MEETING @ UKM~

Assalamualaikum w. b. t. dan salam sejahtera semua.

Kali ini saya akan berconfes sedikit tentang UKM atau nama panggilannya adalah Universiti Kuat Meeting. Mengapa perlu saya mengatakan bahawa UKM adalah universiti kuat meeting? Kerana boleh dikatakan seyiap hari akan ada orang yang akan buat meeting di setiap kolej atau fakulti.


Bagi sesiapa yang tidak pernah melalui alam universiti di UKM, anda dipersilakan untuk menjadi sebahagian daripada staff atau pelajar UKM. Dan dari situ, anda akan tahu mengapa saya mengatakan UKM adalah universiti kuat meeting. Tidak dinafikan, saya juga telah melalui alam UKM dan kerap merasakan meeting. Setiap program akan ada meeting samada secara kecil-kecilan atau besar-besaran. Meeting akan dibuat setiap hari dan lebih kerap apabila sesuatu program itu semakin hampir. Masa itulah semua orang yang menyertai program akan kelam-kabut dengan persiapan yang perlu dibuat untuk menyempurnakan program.


Tetapi, meeting yang kerap kali juga ada kebaikannya. Antaranya adalah ianya akan melatih kita untuk hidup lebih kepada formal dan kita tau akan mengorganisasi sesuatu kelab. Apabila kita sudah membiasakan diri menghadiri meeting, kita akan lebih menepati waktu dan kemahiran komunikasi kita semakin meningkat. Saya sendiri dapat melihat perubahan keatas diri saya yang lebih bersikap professional dan formal dalam sesuatu perkara yang serius. Jikalau sebelum ini, saya kurang suka akan aktiviti yang formal. Tetapi sekarang, saya telah biasa akan kehidupan yang formal. 


Tetapi satu sahaja nasihat saya, kalau anda tidak dapat hadirkan diri dalam meeting, perlulah anda memberitahu ketua program anda dan nyatakan sebab-sebab yang munasabah. Janganlah anda sengaja tidak datang meeting kerana ianya akan membuat tanggapan orang lain keatas diri anda sebagai orang yang tidak bertanggungjawab. Dan ini adalah nasihat kepada diri saya sendiri dan juga pelajar-pelajar, janganlah anda sibuk sangat dengan meeting sehingga pelajaran dan tanggungjawab anda kepada Allah terabai. Pandaikanlah diri untuk membahagikan masa dengan baik.

Sekian sahaja blog pada minggu ini.

Assalamalauikum w. b. t.



~SELFIE~

Assalamualaikum w.b t. dan salam sejahtera semua. 

Kali ini tajuk kita agak menarik sikit iaitu selfie yang menjadi kegilaan remaja dan sesetengah orang tua di seluruh dunia. Selfie adalah mengambil gambar sendiri menggunakan kamera sendiri atau orang lain.


Kebanyakan jenis-jenis yang selalu berselfie ini adalah kaum hawa dan orang yang selalunya kesunyian dalam hidup. Jadi mereka berselfie seorang diri untuk memeriahkan hidup mereka. Tetapi tidak semua berselfie seorang diri. Ada juga yang berselfie bersama-sama orang lain atau selfie secara berkumpulan. Dan akibat daripada pengaruh selfie ramai-ramai inilah wujudnya selfie menggunakan monopod.


Monopod kadang-kadang bukan digunakan secara ramai-ramai. Ada juga sesetengah orang yang tidak tahu erti kebengangan berselfie menggunakan monopod. Saya boleh terima lagi kalau orang berselfie menggunakan monopod beramai-ramai. Tetapi apabila berselfie secara solo dan menggunakan monopod, soalan pertama yang terlintas didalam kepala saya adalah "orang nie tak tau malu ke tangkap gambar sorang-sorang guna monopod? Kalau aku dah bengang da.". Tetapi apakan daya. Saya bukanlah pembuat peraturan negara. Kalau saya pembuat peraturan negara, akan saya haramkan berselfie solo menggunakan monopod.


Tetapi apa yang saya kagum dengan selfie adalah orang yang mencipta monopod. Saya kagum  dengan orang yang mencipta monopod kerana beliau pandai menghidu pelunag perniagaan. Jika kita lihat, harga monopod dalam purata RM 40. Itu adalah harga yang paling murah. Tidak tahulah kalau-kalau ada yang lagi murah. Bayangkan, didunia ini berapa ramai yang telah membeli monopod ini. Tentu pencipta monopod ini sudah kaya raya sekarang. 



Saya rasa sampai disini sahaja komen saya tentang selfie ini. Takut-takut saya akan dipukul jika memberi lebih komen tentang perkara ini kerana ramai orang yang berselfie sekarang. 

Sekian terima kasih.

Assalamualaikum w. b. t..





~KAWAN ATAU SAHABAT~

Assalamualaikum w. b. t.
Kali ini saya akan berkongsi pengalaman dan ilmu yang saya ada tentang tajuk ini iaitu kawan atau sahabat. Kalau anda perlu pilih salah satu antara kawan atau sahabat, yang mana akan anda pilih? Kalau mengikut pendapat saya, saya akan memilih sahabat daripada memilih kawan. Kenapa?


Pada saya, sahabat adalah orang yang setia. Setia bukan sahaja tertumpu pada pasangan. Setia juga boleh berlaku dalam persahabatan. Sahabat adalah orang yang ketawa bersama dan menangis bersama. Dan pada saya,  kawan pula adalah orang yang suka mengambil kesempatan terhadap kita. Mereka ini selalunya hanya ketawa sahaja bersama kita. Tetapi apabila kita dalam keadaan susah, mereka bertindak seperti tidak mengenali kita. 


Sepanjang saya hidup dimuka bumi Allah ini, saya telah tahu sedikit sebanyak dalam mengenalpasti yang mana sahabat dan yang mana adalah kawan. Di universiti ini, saya telah berjumpa dengan beberapa sahabat yang mana mereka selalu bersama saya. Sahabat-sahabat ini adalah sahabat di kolej saya. 


Mengapa saya memanggil mereka sahabat, kerana apabila saya dalam kesusahan, mereka pasti ada untuk membantu saya. Dan apabila mereka dalam keadaan susah, saya pula yang akan membantu mereka. Selain daripada sahabat di UKM, saya juga mempunyai sehabat-sahabat yang baik di setiap peringkat pelajaran. Dari tadika, sekolah rendah hingalah ke matrik seterusnya ke alam universiti. Alhamdulillah sahabat-sahabt yang saya ada adalah orang yang saya percaya. Maka, perlulah kita pandai dalam mencari sahabat sejati. Walau kita mempunyai kawan yang ramai, tetapi akan hilang apabila kita susah, tidak berguna juga. Jadi, berhati-hatilah dalam mencari kawan dan sahabat.

Sekian terima kasih.


Assalamualaikum w. b. t.




~PENAT~

Assalamualaikum w. b. t dan salam sejahtera.

Kali ini saya akan berkongsi atau menceritakan tentang penat. Penat ? Mengikut apa yang saya google, penat ialah lelah. Tetapi apa yang saya faham penat ilaah kita sudah tidak mampu untuk melakukan sesuatu. 


Saya sebagai pelajar universiti juga merasakan bagaimana penat itu berlaku. Penat apabila kita perlu  menyiapkan kerja-kerja atau tutorial yang diberi oleh pensyarah kita. Penat kerana melaksanakan program-program yang berlangsung dikolej mahupun di fakulti. Bertambah penat apabila kita membuat kerja seorang sahaja sedangkan kerja yang diberi adalah kerja berkumpulan. Memang tidak dinafikan lagi, mesti berlaku perkara buat kerja seorang diri di dalam pelajar universiti.


Saya sendiri pernah merasakan perkara sebegini. Bukan sekali, tetapi kerap kali. Bukanlah nak kata saya rajin sebab buat kerja seorang, tetapi kawan sekumpulan perlulah pandai-pandai mencari peluang membantu dalam meyiapkan sesuatu tugasan. Kita sebenarnya tidak perlu disuruh baru nak buat. Kita seharusnya tahu akan tugas-tugas yang kita perlu lakukan. Sedangkan haiwan pun tahu penat, inikan lagi manusia. Tetapi lagi penat apabila kita belajar. Kerana belajar menggunakan otak, maka otak juga akan penat kerana terlalu banyak berfikir. 


Penat otak adalah lagi penat daripada penat fizikal. Tetapi, apa yang penting janganlah kita berputus asa jika mahu menuntut ilmu. Tidak perlulah belajar sepanjang masa. Kita perlu juga udara segar. Rajin-rajinkan diri beriadah. Dan selain beriadah , perkara yang utama ialah beribadah. Dengan beribadah adalah lagi bagus kerana kita akan berasa tenang. Janganlah beriadah hingga terlupa beribadah.

Sekian sahaja blog pada minggu ini. 

Assalamualaikum w. b. t.



Monday, 5 May 2014

~MENGUMPAT~

Assalamualaikum w. b. t. dan salam sejahtera semua.

Mengumpat?Ya. Kali ini saya akan mengupas tentang tajuk mengumpat ini. Mengumpat adalah menyatakan keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Kalau kita lihat pada zaman sekarang, terlalu banyak orang mengumpat. Sikit-sikit mengumpat. Kasihan kepada orang yang diumpat kerana telah terbuka aibnya.


Tahukah anda , mengumpat adalah perkara yang dibenci Allah. Sesiapa yang mengumpat adalah berdosa kerana telah membuka aib orang lain. Adakah anda suka apabila kekurangan anda diceritakan kepada orang lain? Semestinya kita akan cuba sedaya upaya untuk merahsiakan kekurangan kita.


Pada zaman sekarang ini, mengumpat itu tidak lagi dirasakan seperti berdosa kerana telah biasa melakukan umpatan. Sedarlah wahai manusia. Dosa mengumpat adalah lebih besar berbanding dosa berzina. Malah dosa mengumpat adalah dosa yang tidak diampunkan oleh Allah. Balasan bagi dosa mengumpat adalah seperti memakan daging saudara sendiri. Diluar jangkaan manusia untuk memakan daging manusia lain apatah lagi daging saudara sendiri. 


Dan untuk pengetahuan saudara saudari, dosa mengumpat hanya diampunkan oleh orang yang diumpat. Selagi orang yang diumpat itu tidak mengampunkan, selagi itulah dosa umpatan itu kekal sehingga akhirat. Tambahan, Allah akan membalas dosa orang yang mengumpat dengan membuka aib si pengumpat itu sendiri. Ini bersesuian dengan sabda Rasulullah S. A. W

 " wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allahakan mengintip keaibannya,dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri. "

(hadis riwayat Abu Daud)

Maka , janganlah kita asyik mengumpat sahaja. Jagalah lidah dan hati anda supaya anda tidak mentopap dosa secara berterusan. Sekian sahaja tajuk yang ingin saya bincangkan. 

Sekian terima kasih.



Sunday, 4 May 2014

~3 IDIOTS~

Assalamualaikum w. b. t.

Hari ini saya akan menceritakan sedikit sebanyak tentang filem yang bertajuk " 3 Idiots ". Filem hindustan kegemaran saya. Lakonan hebat Aamir Khan. Cerita ini menjadi kegemaran saya kerana ianya cerita komedi yang mempunyai nilai-nilai moral yang banyak. Kecuali babak yang terakhir, iaitu babak panas cium mulut. Babak itu patut dipotong kerana tidak mempunyai nilai moral.


Saya akan ceritakan secara ringkas sahaja cerita ini. Kerana saya rasa ramai yang sudah menoton cerita ini. Cerita ini adalah mengenai 3 orang remaja iaitu Rancho, Raju dan Farhan yang menyambung pelajaran di Imperial College Of  Engineering. Rancho adalah seorang yang periang dan seorang yang genius berbanding 2 rakannya. Pelbagai halangan mereka lalui bersama. 


Halangan paling besar yang mereka lalui adalah dengan pengetua di kolej mereka iaitu Virus. Virus hanyalah nama gelaran bagi pengetua mereka. Virus tidak menyukai Rancho kerana telah memalukannnya dikhalayak ramai. Virus adalah seorang yang tidak mahu mengalah. Virus telah mempengaruhi Raju untuk tinggalkan Rancho dan Farhan. Tetapi mereka berkawan semula apabila Rancho menyelamatkan bapa Raju. Dalam cerita ini juga terdapat unsur percintaan. Ini dapat dilihat apabila Pia (anak Virus)  jatuh cinta kepada Rancho. Pia mula jatuh cinta kepada cinta apabila melihat kesungguhan Rancho menyelamattkan bapa Raju. Dari situ Pia dapat melihat bahawa Rancho adalah seorang yang baik hati. 


Tetapi apa yang paling saya suka mengenai cerita ini adalah nilai persahabatan. Jika kita tonton cerita ini, kita dapat melihat mereka bertiga saling bantu membantu antara satu sama lain. Walau apa pun yang terjadi mereka tetap bersama. Jadi, untuk memendekkan cerita, pada akhir cerita ini, Virus telah mula menyukai Rancho dan kawannya apabila merka bekerjasama menyambut dan menolong kelahiran cucunya. Dari situ Virus telah mula sedar akan keangkuhannya. Raju dan Farhan juga telah berjaya membina hidup mereka hasil daripada kata-kata semangat dari Rancho dan mereka bertemu semula selepas beberapa tahun berpisah. 

Sekian sahaja sedikit sebanyak yang dapat saya kongsikan. 

Assalamualaikum w. b. t.

"All Is Well"



~STRESS~

Assalamualaikum w.b. t dan salam sejahtera.

Hari ini saya akan menceritakan sedikit sebanyak tentang stress. Stress yang saya akan ceritakan adalah tertumpu pada stress yang ditanggung oleh pelajar universiti. Mengapa? Kerana saya adalah pelajar universiti dan saya telah mengalami pelbagai stress menjadi pelajar universiti.


Maksud stress yang saya ketahui melalui google adalah tekanan, ketegangan, dan desakan. Stress sebagai seorang pelajar universiti amatlah berat. Stress yang paling memeningkan kepala adalah apabila hampir tiba waktu peperiksaan akhir. Masa itu, boleh dikatakan semua pelajar akan mengalami stress. Stress kerana tidak mengulangkaji pelajaranlah, stress kerana tidak tahu jalan menyelesaikan sesuatu soalanlah, dan macam-macam lagi. Jika anda pernah menonton cerita hindustan '3 Idiots', anda boleh lihat bagaimana stressnya belajar. Hinggakan seorang rakan mereka iaitu Joy Lobo membunuh diri kerana stress tidak dapat tamatkan pengajian kerana beliau tidak datang kekelas dan menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarahnya. 


Tetapi, apa yang boleh saya katakan, janganlah kita terlalu stress sehingga melakukan perkara yang mencederakan diri sendiri. Boleh saya katakan satu tindakan bodoh apabila seseorang itu membunuh diri akibat stress. Kita masih ada jalan untuk menangani  sesuatu masalah. Jikalau memang tidak ada pun, kita boleh bertawakal kepada Allah. Itu adalah jalan terbaik. Tidak perlulah sehingga membunuh diri. Jika kita stress, rajin-rajinkanlah diri untuk mendekatkan diri kepada Allah. In shaa Allah, pasti Allah akan membantu kita. 


Saya rasa, sampai disini sahaja perbincangan kita mengenai stress. Marilah kita sama-sama mendekatkan diri kepada Allah supaya diri kita sentiasa tenang. In shaa Allah.

Assalamualaikum w. b. t.


Wednesday, 30 April 2014

~B*B* SELALU DIPERSALAHKAN~

Assalamualaikum w. b. t
Kali ini tema yang saya pilih agak mencarut dan kasar juga. Mengapa saya pilih tema ini? Sebab apa yang saya lihat remaja atau golongan pada zaman sekarang selalu mempersalahkan bab* dalam kesilapan yang mereka lakukan.


Baiklah. Pertama sekali, sedarkah anda semua bahawa apabila kita tersalah lakukan sesuatu, seperti terbuat tutorial dalam buku yang lain, mesti kita akan cakap 'bab* la, salah buat pulak'. Daripada apa yang dapat saya lihat pada zaman sekarang, kebanyakan remaja malahan orang tua pun akan kata sebegini apabila mereka tersilap. Sikit-sikit bab*. Tetapi saya tidak mengatakan semua orang berkata begini. Yang mana sudah melatih diri untuk bercakap yang baik-baik, pasti tidak akan menyebut nama binatang ini.


Saya mengaku, saya pun kadang-kadang terlepas perkataan mencarut ini. Bab* la, s*al la dan macam-macam perkataan yang lebih mencarut lagi. Kadang, benda yang kecil pun kita cakap bab*. Contohnya, apabila kita kena gigit nyamuk, mesti ada yang berkata 'Bab* la nyamuk nie, tak ade darah lain ke nak hisap'. Lihat, nyamuk pun sudah menjadi bab*.


Jadi, konklusinya, marilah kita sama-sama melatih lidah kita untuk menyebut yang baik-baik sahaja. Jikalau perkara seperti ini berterusan, maka hilanglah moral manusia. Hancurlah komunikasi yang baik-baik antara manusia. Dan Allah juga menyuruh kita untuk menyebut yang baik-baik sahaja. Banyakkkan selawat, bertasbih. Adalah lebih baik daripada kita mencarut. 

Sekian sahaja daripada saya, sekian.

Saturday, 26 April 2014

~iFOLIO UKM~

Assalamualaikum w. b. t.

Petang Sabtu yang amat membosankan. Bosan sebab nak belajar, tapi tak ada mood. Kerja asyik  tertangguh je. Kerja yang selalu dilakukan hanyalah tidur. Tidak pasti kenapa dan mengapa, setiap hari saya rasa mengantuk je. Walaupun sudah tidur hampir 12 jam. Apatah lagi jikalau hujan. Lagi nyenyak dibuai mimpi.


Tetapi bukan lah tentang tidur yang ingin saya tulis di blog ini pada hari ini, tetapi tentang iFolio UKM. Mengapa iFolio UKM? Kerana dua patah perkataan inilah yang terlintas dalam kepala saya apabila Sir Azzwan menyuruh kami memilih tema sendiri yang merangkumi dua patah perkataan. Jadi, saya akan memberitahulah sedikit tentang iFolio UKM ini kepada pembaca.


Seminggu selepas minggu orentasi, iaitu orentasi bagi pelajar tahun pertama UKM, termasuk diri saya juga, kami telah didedahkan atau diberitahu tentang laman web ini. Pada mulanya memang rasa kekok, tetapi lama-lama ianya menunjukkan banyak kelebihan berbanding keburukan. 

IFolio UKM adalah salah satu daripada teknologi pendidikan pada zaman sekarang. Ia adalah satu laman web yang menghubungkan pelajar dan pensyarah. Banyak universiti dan pusat pengajian yang telah menggunakan sistem ini, tetapi berbeza nama dan mungkin fungsi berbeza.


Terdapat banyak kelebihan iFolio UKM ini. Antaranya adalah ianya memudahkan pelajar dan pensyarah untuk mendapatkan atau menghantar barang kursus. Pensyarah boleh memuatnaik bahan kursus kepada pelajar melalui laman web ini dan pelajar boleh mendapatkan bahan kursus yang telah dimuatnaik pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat asalkan tempat tersebut mempunyai wifi. Pelajar juga akan dapat bahan kursus tersebut dengan cepat. Pelajar dan pensyarah tidak perlu membuat temujanji atau kelas tambahan untuk memberikan bahan kursus.




Selain itu, pelajar juga akan bermotivasi. Mengapa? Kerana kita dapat lihat pada zaman sekarang iaitu zaman generasi Y, kita lebih suka belajar menggunakan teknologi. Pelajar akan lebih cepat belajar apabila menggunakan teknologi. Menggunakan iFolio akan memudahkan pelajar. Pelajar boleh mendapatkan nota daripada laman web ini. Pelajar juga boleh membuat perbincangan atau menjawab kuiz yang diberikan oleh pensyarah melalui laman web ini sahaja. Semua ini hanya perlu menggunakan teknologi seperti komputer riba dan internet. Maka pelajar akan lebih bermotivasi untuk belajar terutama apabila belajar tentang subjek yang diminati dan boleh dipertingkatkan dengan menggunakan teknologi yang lebih moden.

Konklusinya, banyak kelebihan iFolio UKM ini yang dapat kita gunakan. Bersyukur saya dapat memasuki UKM. Tiba masanya saya mengundurkan diri.

Assalamualaikum w. b. t.